Cempaka Emas: Mak Yong, Suasana,
dan Teater Tari Kontemporer Malaysia[1]
Zulkifli Mohamad, PhD.
Pendahuluan
Kertas kerja ini akan membicarakan mengenai penggunaan teater tari tradisi, Mak Yong, dalam Kumpulan Suasana serta pendekatannya dalam Teater Tari Kontemporer di Malaysia. Persembahan teater Tari Suasana berjudul “Cempaka Emas” akan dijadikan fokus utama dalam perbincangan ini. Perbincangan akan dilihat dari beberapa aspek utama seperti kumpulan itu sendiri, Mak Yong dan persembahan Cempaka Emas.
Perbincangan secara teliti akan dibuat terhadap aspek-aspek produksi dalam teater tari Cempaka Emas melalui kacamata pengurusan produksi. Perbincangan ini adalah berasaskan penglibatan langsung pembentang dalam kumpulan tersebut, temuduga khas dengan Azanin Ahmad serta penyelidikan sekonda melalui bahan-bahan cetak yang ada.
Kumpulan ‘Suasana Dance Company’ telah ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai sebuah kumpulan teater amatur dengan beridentitaskan Senitari Melayu Klasik masa kini. Suasana, nama singkatnya menampilkan persembahan drama tarinya yang pertama berjudul “Dayang Sari” berasaskan cerita legenda Tasik Dayang Bunting di Pulau Langkawi. Kumpulan ini banyak menumpukan produksinya ke arah cerita-cerita legenda dan sejarah silam. Setiap produksi adalah dihasilkan dari penyelidikan yang menyeluruh dari berbagai aspek seperti sejarah, jalan cerita, musik, kostum, bentuk tari serta falsafah dan pengajaran dalam ceritanya.
Bentuk tarinya banyak menggabungkan asas-asas dalam tari Melayu klasik seperti Mak yong, Menora, Gamelan, Asyik, Seni Silat serta tarian kontemporer modern. Musiknya juga menggabungkan musik Mak Yong, Menora, Gamelan, Asyik, Wayang Kulit, Silat serta musik kreasi baru. Ada yang paling menarik dalam produksi-produksi Suasana, yaitu gabungan teater tari, susunan musik, teknik pencahayaan, rekaan pentas serta rekaan busana yang bersifat kontemporer, tetapi berinspirasikan Melayu Klasik, sesuai dengan citarasa para penonton teater masa kini.
Suasana mempunyai falsafah yang tersendiri yang merangkum visi penghasilan setiap kreasi, yaitu ‘Dunia Tari Suasana Merangkumi Seluruh Pelosok Alam Melayu Nusantara Yang terkumpul Dari Angin Perdagangan.’
Suasana telah banyak mempersembahkan produksi-produksinya di festival-festival seni antar bangsa seperti London International Dance Festival, Asian Arts Festival di Hongkong, Asian Pasific Arts Festival di Australia, Singapore Arts Festival, Japan International Theatre Festival dan sebagainya. Ia telah meletakkan seni tari Melayu di tempat yang tinggi di mata dunia serta mampu menarik minat penonton manca negara.
Suasana
Suasana didirikan pada tahun 1978 oleh Azanin Ezane Ahmad yang berasal dari Perak. Beliau mendapat bimbingan dalam seni tari sejak dari kecil. Setelah mendapat ijazah dalam bidang ekonomi dari Universitas Monash, Australia, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan usaha-usaha dalam mengembangkan sendratari Melayu.
Mulai bulan Februari 1990, nama resmi Suasana telah diubah menjadi Pusat Budaya Suasana. Pusat ini merupakan satu pusat seni dan budaya yang erangkumi kegiatan-kegiatan di dalam bidang latihan, penerbitan, persembahan pementasan, penyelidikan dan penggalakan seni persembahan. Salah satu kegiatannya yang utama adalah mengadakan kelas-kelas seni tari Melayu Klasik untuk kanak-kanak dan orang dewasa, mereka diajarkan asas-asas dalam seni tari Mak Yong serta tari klasik yang lain.
Azanin telah berjaya melahirkan karya-karya barunya dengan menggabungkan gerak-gerik dan seni budaya tradisional termasuk Mak Yong dari negeri Kelantan, Gamelan dari Trengganu, Gendang Terinai dari Perlis, Silat, Wayang Kulit dan seni persembahan kontemporer.
Usaha menggunakan Mak yong sebagai landasan teras teater tari telah mendapat sambutan yang baik dan sungguh menggalakan. Mak Yong yang tinggi mutunya dan halus gerak-geriknya dikenali dari kepulauan Riau hingga semenanjung Tanah Melayu, terus ke utara ke Benua Siam dan ke timur hingga ke Annam di Vietnam. Karya-karya Azanin telah memberi kesadaaran dan tenaga baru, dalam perjuangan menghidupkan semula tradisi istana Melayu lama. Usaha murni beliau telah dihargai dan dikagumi oleh pecinta-pecinta seni di negara-negara Jerman, Inggris, Australia, Hongkong, Amerika Serikat, Jepang, Singapura dan Malaysia .
Pusat Budaya Suasana dilahirkan dengan tujuan untuk memelihara, menggalak dan mengembangkan pengalaman sejarah budaya kita. Melalui media seni teater, Suasana telah berjaya mempersembahkan tradisi budaya kita sebagai nadi budaya Malaysia masa kini.
Sejak penubuhannya, persembahan yang diutarakan oleh Suasana telah diterima sepenuhnya sebagai satu bentuk teater tari masa kini. Perjuangan Suasana adalah untuk menggunakan ruang teater untuk mengumpul dan menggabungkan semua bentuk budaya. Ilham baru ini akan dipersembahkan kepada umum dengan menggunakan daya cipta tersendiri untuk memenuhi citarasa seni semasa.
Mak Yong
Mak Yong mengikut tafsiran Prof. Madya Ghulam-Sarwar Yousof dalam bukunya ‘Dictionary of Tradisional South East Asian Theatre’ adalah sebuah teater tari Melayu zaman silam yang menggabungkan elemen-elemen ritual, tarian, lakonan, vokal, musik instrumental, nyanyian dan cerita dalam bentuk formal serta improvisasi. Selalu dipersembahkan di Kelantan dan Patani, Selatan Thailand. Beliau juga menceritakan bahwa Mak Yong pernah menjadi persembahan Diraja pada awal abad kedua puluhan.
Teater tersebut berkembang kepada suatu bentuk yang lebih canggih di bawah kawalan istana. Pada masa yang sama Mak Yong tetap dipersembahkan sebagai hiburan rakyat dan upacara ritual. Mak Yong di bawah patron Diraja tidak kekal lama, berakhir selepas kemangkatan Almarhum Tengku Temenggong Ghaffar. Para seniman tersebut akhirnya kembali kepada persembahan hiburan rakyat dan upacara ritual.
Mak Yong muncul kembali di awal tahun tujuh puluhan dengan tertubuhnya kumpulan Seri Temenggung di bawah pimpinan Puan khadijah Awang. Persembahan kumpulan ini lebih bersifat komersil namun masih berpegang pada asas-asas persembahan Mak Yong yang lama, salah satunya adalah tarian Mengadap Rebab.
Pengesek rebab merupakan pemain musik utama dalam orkestra Mak Yong, disamping gendang ibu dan anak, serta gong ibu dan anak. Bilangan alat musik dalam orkestra Mak Yong berbeda dari satu ke satu kumpulan lain. Terdapat juga alat-alat musik wayang kulit ditambahkan dalam pergelaran orkestra Mak Yong pada masa kini.
Watak utama, Pak Yong, yang diperankan oleh wanita bermula pada awal abad ini. Watak-watak Permaisuri dan Jung Dondang atau Inang atau Dayang juga diperankan oleh wanita-wanita. Hanya watak-watak Peran atau Pelawak dilakonkan oleh lelaki. Begitu juga dengan pemusik-pemusiknya.
Buka Panggung dan Tutup Panggung merupaka ritual yang tidak dapat ditinggalkan dalam persembahan Mak Yong. Kedua ritual ini disifatkan sebagai meminta perlindungan kepada para pelakon dan para penonton. Dalam persembahan Mak Yong juga terdapat beberapa peralatan yang perlu ada seperti Rotan Berai dan sebilah keris untuk Pak Yong serta golok kayu untuk watak-watak peran.
Terdapat kurang lebih dua belas buah cerita Mak Yong yang dikira autentik. Dewa Muda, salah satu cerita Mak Yong, adalah dikira sebagai sebuah cerita yang paling penting dan juga menceritakan asal usul Mak Yong itu sendiri. Antara cerita-cerita lain termasuklah cerita Raja Tangkai Hati.
Raja Tangkai Hati
Cerita Raja Tangkai Hati menngisahkan seorang putra raja yang pergi membara dan bertemu seorang putri jahat, Puteri Boto. Puteri tersebut telah jatuh cinta padanya dan terus menawannya dengan berbagai helah dan tipu daya. Selepas beberapa tahun bersama, Raja Tangkai Hati akhirnya berjaya meminta izin dari Puteri Boto untuk mengembara mencari kekayaan. Raja Tangkai Hati, kemudian bertemu dengan Puteri Cempaka Emas, seorang Puteri yang cantik jelita dan berbudi tinggi. Mereka menikah dan dikaruniakan dua cahaya mata. Puteri Boto mengambil keputusan untuk pergi mencari Raja Tangkai Hati dan mendapati putera raja tersebut telah hidup bersama Puteri Cempaka Emas. Dengan tipu helah Puteri Boto berhasil menawan Puteri Cempaka Emas serta menyamar diri sebagai puteri tersebut. Walau bagaimanapun akhirnya segala kejahatan terbongkar, Puteri Cempaka Emas dapat dibebaskan dan Puteri Boto dibunuh oleh Raja Tangkai Hati.
Cempaka Emas
Cempaka emas, produksi Suasana yang keempat merupakan sebuah produksi yang berteraskan cerita Mak Yong, Raja Tangkai Hati. Seperti produksi-produksi Suasana yang lain, Cempaka Emas juga mempunyai penumpuan yang berbeda dalam jalan ceritanya. Penukaran tajuk cerita Raja Tangkai Hati kepada Cempaka Emas sekaligus menonjolkan Azanin Ahmad, pengarah artistik, koreografer, penyusun musik dan penari utamanya, sebagai individu penting dalam teater tari tempatan. Watak Puteri Cempaka Emas dan Puteri Boto yang dilakontarikan oleh beliau sendiri menjadi fokus utama dalam teater tari tersebut. Ini jelas menonjolkan dua watak utama dalam cerita-cerita Mak Yong, watak baik dan watak jahat yang ingin disampaikan oleh Suasana.
Peranan buka panggung, tutup panggung, rebab dan batang cerita serta tari mengadap rebab sebagai suatu ritual penting dalam persembahan Mak Yong tetap dikekalkan dalam teater tari Cempaka Emas ini. Apa yang berbeda antara Mak Yong tradisi dan teater tari Suasana ialah teknik persembahan dan cara penyampaiannya. Suasana selalu menampilkan dramatari tanpa dialog dengan intepretasi tari, musik, bentuk, teknik lampu, kostum, nyanyian dan mantra yang bercorak ritual. Persembahan teater tari Suasana memadatkanjalan cerita dalam jangka waktu dua jam beserta interval di tengah persembahan sebagai perantara. Konsep ini adalah berasaskan persembahan tater modern. Konsep ini sekaligus membawa Mak Yong tradisi jauh dari konsep asalnya tetapi pada waktu yang sama memperkenalkan dan mempopulerkan cerita Mak Yong kepada masyarakat masa kini.
Jalan Cerita
Jalan cerita ‘Cempaka Emas’ telah disesuaikan mengikuti citarasa pengarah artistiknya. Dari judul teater tari itu sendiri dapat dilihat, penukaran judul Raja Tangkai Hati menjadi Cempaka Emas merupakan satu penumpuan yang berbeda. Pengaliran ceritanya adalah sama, tetapi penonjolan dan kepentingan watak-watak adalah berbeda. Begitu juga dengan penekanan babak-babak dan ciri-ciri dramatik yang dimasukkan dalam teater tari ini.
Jumlah waktu persembahan adalah selama kurang lebih dua jam termasuk lima belas menit interval di pertengahan persembahan. Ini jauh berbeda dengan persembahan Mak Yong di masa lampau yang mana mengambil waktu berhari-hari untuk menghabiskan sebuah cerita. Jangka waktu persembahan banyak mempengaruhi jalan cerita. Jangka waktu persembahan yang singkat ini memerlukan kepadatan dalam persembahan agar jalan ceritanya kekal dan pesan yang ingin disampaikan sama.
Kepadatan dalam persembahan yang dimaksudkan di sini adalah teknik persembahan yang merangkumi teknik pencahayaan, reka bentuk pentas dan peralatan, rekaan busana, rekaan aksesori dan hias rupa, susunan musik dan nyanyian serta tarian itu sendiri.
Teknik Pencahayaan
Teknik pencahayaan banyak membantu persembahan masa kini dalam memberikan suasana dan menghidupkan suatu watak, suasana dan babak. Puan Shuhaimi Baba, pangarah film terkenal di Malaysia bertanggung jawab dalam rekaan pencahayaan dan teknikal. Bersama mimik muka, musik dan nyanyian dalam suatu babak, cahaya lampu mampu menghidupkan suatu watak dan suasana dengan lebih berkesan. Mungkin ini tidak dapat disaksikan dalam persembahan Mak Yong tradisional, melainkan beberapa buah lampu gasolin. Babak Puteri Cempaka Emas ditawan oleh Puteri Boto begitu menonjol terutama dengan teknik-teknik pencahayaan dan reka pentas.
Melalui teknik pencahayaan, Suasana mencoba mendokumenkan sebuah teater tari yang berinspirasikan zaman silam. Begitu juga dengan penggunaan es kering ‘smoked ice’ dan asap dalam babak yang melibatkan Puteri Boto, untuk melahirkan rasa takut, gerun, ngeri, jijik serta sesuatu yang tidak nyata. Bahkan dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Dr. Kristian Jitt, beliau menyatakan bahwa asap itu merupakan suatu perkara dasar dalam produksi Suasana.
Rekabentuk Pentas dan Peralatan
Rekabentuk pentas dan peralatan dalam produksi seperti ini bukanlah mudah. Memerlukan seorang yang pakar dan memahami dengan mendalam tentang senibina dan senireka, budaya dan ritual, teater dan tari, serta penggunaannya secara keseluruhan.
Saudara Nik Malik Zainal Abidin, seorang perunding senibina, senireka taman, senireka dalaman dan perancang persekitaran persendirian juga bertanggung jawab dalam merekabentuk pentas untuk persembahan Suasana yang sebelumnya yaitu Puteri Sa’adong. Saudara Nik Malik juga merupakan penari lelaki utama dalam Cempaka Emas, di mana beliau memegang watak sebagai Raja Tangkai Hati.
Dalam persembahan Cempak Emas, pohon cengkering tempat penginapan Puteri Boto diberikan satu penumpuan yang khusus dan prominen. Ia ditempatkan di sebelah kanan pentas. Dibuat dari kain-kain berwarna merah, hitam, hijau dan cokelat, dipotong dengan bentuk ombak-ombak. Kain-kain tersebut digantung dari atas lalu terurai ke bawah dengan paras dan kedalaman yang berbeda. Ditambah pula dengan topeng-topeng kayu yang digantung di pohon tersebut. Ini penting untuk melahirkan bentuk tiga dimensi sebuah pohon yang besar dan menggerunkan.
Cemapka Emas juga masih menggunakan ide-ide tradisional dalam teater ini seperti rekaan bulatan yang dicat di permukaan pentas yang mana melambangkan sebuah taman larangan yang ada dalam cerita Mak Yong tersebut. Bulatan tersebut juga diinterpretasikan sebagai dunia yang bulat dimana setiap tari yang menggambarkan pengembaraan akan mengelilingi bulatan tersebut.
Dalam babak pertama, tarian mengadap rebab, tirai kain putih yang tipis “organza” digunakan untuk melahirkan gambaran ke masa silam. Selain itu terdapat juga peralatan yang penting dalam pementasan ini yaitu payung diraja, pengusung diraja serta hadiah-hadiah diraja.
Rekaan Busana, Aksesori dan Hias Rupa
Gabungan empat pereka terkemuka, Najib Noor, ismail Bakti, Yusuf Fadhil dan V.Ramalingam melahirkan rekaan-rekaan yang berkesan. Saudara Najib Noor, pereka pakaian tempatan dibawa masuk ke dalam produksi ini untuk menggabungkan rekaan busana masa silam dengan rekaan busana untuk teater masa kini. Rekaan kontemporer yang jelas menonjol ialah rekaan busana Puteri Boto dan kuncu-kuncunya, di mana beliau menggunakan ‘Bodu Suit’ yang lekat di badan yang dilukis di atasnya urat-urat berwarna merah, hitam, dan berkilat. Lapik dada dan sampin yang dibuat dari kain perca lembut berwarna-warni adalah berinspirasikan pakaian Melayu lama. Untuk menonjolkan watak jahat dalam Puteri Boto, kuku tembaga yang digunakan dalam teater manora digunakan.
Rekaan busana yang lain lebih bercorak tradisional di mana penggunaan kain songket, baju kebaya dan kemban serta baju Melayu Pak Yong masih digunakan dengan sedikit penyesuaian untuk persembahan teater. Rekaan busana watak-watak lelaki banyak berinspirasikan pakaian lelaki Melayu Kelantan di masa silam.
Hiasan kepala dalam persembahan ini dibagi dalam dua bentuk, bentuk kontemporer dan bentuk tradisional. Tetapi kedua bentuk ini adalah yang direka khas untuk persembahan ini. Allahyarham Ismail Bakti bertanggung jawab mereka cipta hiasan-hiasan kepala bentuk tradisional manakala Saudara Yusuf Fadil merekacipta hiasan-hiasan kepala bentuk kontemporer. Hiasan kepala bentuk tradisional digunakan oleh watak-watak pak yong, Permaisuri, Inang-inang, Raja, Raja Perempuan, Raja Muda, Puteri Cempaka Emas, Putera Puteri dan Panglima-panglima.
Peranan hias rupa dalam teater kontemporer amat penting, dimana watak-watak ditonjolkan dengan jelas melalui hias rupa. Ini jauh berbeda dengan peranan hias rupa dalam teater di masa lepas. Watak Puteri Boto dan Puteri Cempaka Emas yang diperankan oleh Azanin misalnya, perlu dibedakan perwatakannya agar penonton tidak keliru dan hais rupalah yang boleh memainkan peranannya.
Susunan Musik dan Nyanyian
Lagu-lagu yang digunakan dalam Cempaka Emas adalah gabungan lagu-lagu dari Wayang Kulit Kelantan dan Mak Yong. Jadi alat-alat musik dan pemusik-pemusiknya dalah juga gabungan dari dua bentuk teater. Ini sudah menjadi gaya dalam produksi Suasana. Alat-alat musik uatmanya termasuk serunai, rebab, gendang ibu dan anak, gedombak ibu dan anak, geduk ibu dan anak, gong ibu dan anak, canang dan kesi. Pemusik-pemusiknya juga merupakan gabungan dari beberapa kumpulan di Kelantan seperti dari kampung Chicha Kubang Kerian, Pasir Puteh, Tanah Merah, Rantau panjang dan Tumpat.
Lagu-lagu untuk suatu babak tarian itu juga tidak semestinya diambil dari sebuah lagu yang penuh, tetapi gabungan dari beberapa rangkap lagu untuk melahirkan watak dan jalan cerita yang berkesan. Misalnya dalam babak Mabuk Kepayang di mana Puteri Boto mulai timbul dan kehadiran Raja Tangkai Hati membuahkan rasa cintanya terhadap putera raja tersebut menggunakan beberapa gabungan susunan lagu-lagu Maharisi/Tok Mat Siku, Dewa Panah, Mengendap, Dewa Panah, Angkatan Perang dan Dewa Panah semula.
Dalam teater tari Cempaka Emas, pengarahnya masih menggunkana tarian ‘Mengadap Rebab’ dan Batang Cerita’ sebagai pembuka tirai kepada persembahan teater tari kontemporer ini, Pengarahnya juga menggunakan dua orang pemain Mak Yong tradisional dalam kedua bagian ini. Nyanyian dalam lagu mengadap rebab masih dikekalkan, tetapi lagunya disingkat dari lagu asalnya. Begitu juga dengan batang ceritaatau dialog yang disampaikan dalam ‘batang cerita’ telah dipendekkan. Semua nyanyian dan dialog tersebut masih juga dikekalkan dalam dialek Kelantan. Mungkin itulah sebabnya ia dipendekkan, agar penonton tidak merasa bosan dengan nyanyian dan dialog yang tidak dapat difahami oleh semua orang. Faktor masa juga diperhitungkan dalam soal ini. Sebuah lagi lagu Mak Yong, Mengulek Tidur digunakan dalam babak Puteri Bersiram, di mana senikatanya telah diubah untuk menyesuaikan keadaan.
Koreografi Tarian
Seperti yang telah diterangkan sebelumnya, koreografi tarian Suasana menggabungkan asas tari dari Mak Yong, Manora, Gamelan, Terinai, Asyik dan Silat. Asas-asas tari ini diolah kembali dalam bentuk kontemporer. Dalam Koreografi tarian Puteri Boto dan kuncu-kuncunya, jelas kelihatan seni tariannya yang lebih berbentuk kontemporer barat tetapi pada masa yang sama mengambil motif-motif dari asas-asas tari Melayu Klasik. Begitupun tari-tari klasik itu masih dikekalkan dalam tarian lain seperti Mengadap Rebah Bele-bele Berjalan dan beberapa tarian lainnya yang berinspirasikan tarian klasik.
Pengaruh teater Mak Yong dalam persembahan Cempaka Emas bukan setakat mempersembahkan cerita Mak Yong, malah berusaha untuk mengembalikan kegemilangan teater tersebut.
Kesimpulan
Persembahan teater Mak Yong perlu diwujudkan dalam beberapa bentuk yang berbeda. Pertama, Mak Yong dalam bentuk asalnya, kedua, Mak Yong dalam teater kontemporer dan ketiga, Mak Yong untuk tontonan para pelancong. Ini penting untuk memberitahu generasi akan datang tentang perbedaan persembahan tersebut.
Usaha Azanin Ahmad dan Suasana dalam mengembangkan teater tari Melayu Klasik harus diberi pujian. Begitupun galakan harus diberikan kepada kumpulan-kumpulan persembahan yang lain untuk mencoba menggunakan sumber-sumber yang ada dalam teater Mak Yong. Kita juga harus mewujudkan kumpulan-kumpulan Mak Yong yang mempersembahkan bentuk Mak Yong yang asal. Bukan hanya untuk tujuan penelitian tetapi untuk mendedahkan teater ini kepada umum.
Kumpulan-kumpulan ini juga harus sedar akan apa yang mereka persembahkan dan tidak terbawa dengan arus pembangunan dan budaya pelancungan. Mungkin persembahan-persembahan ini dapat dibedakan melalui tempat-tempat persembahan yang tertentu.
Meratapi kehancuran pertunjukan Mak Yong semata-mata tidak akan membawa kita kemana-mana. Pengorbanan dari para seniman tidak akan mendatangkan bantuan dan sokongan dari pelbagai pihak termasuk kerajaan dan swasta. Penggemblengan tenaga dari pelbagai sudut sangat perlu termasuk pusat pengkajian, penyebaran maklumat, penganjur kebudayaan, serta para penonton di Malaysia.
[1] Artikel telah dibentangkan di Seminar Mak Yong Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 1994. Dialihbahasa ke dalam Bahasa Indonesia untuk percetakan di Indonesia.
1 comment:
Hello Dr Zul,
I am a Malaysian of Indian descent and a recent Masters graduate in Indian Music from Chennai.
In this post, I particularly like the parts where you emphasise that (1) Mak Yong should be portrayed as it was originally, and (2) the importance of distinguishing the difference between that which is original and that which is performed for tourism.
As a student of music and a recent enthusiast of some of Malaysia's music and dance forms, your blogposts interest me and I intend following them from time to time.
Regards,
Shobha Janardanan
MA Indian Music
University of Madras
Post a Comment