Deraf 29/11/07
Tinjauan Tradisi Teater Tari
Zulkifli Mohamad, phd.
Svarnabhumi Studio, Kuala Lumpur
Pengenalan
Beberapa penyelidik barat seperti Brandon, Barba dan Miettienen menyifatkan yang persembahan tari dan teater di Asia Tenggara sebagai sesuatu yang sukar untuk dibezakan atau dipisahkan. [1]Kebanyakan bentuk teater menggunakan pergerakan (movement) tari atau gestur yang menyerupai pergerakan tari yang lengkap dengan iringan muzik. Tradisi berteater pula bukan hanya merangkumi bentuk kesusasteraan klasik dan lama, tetapi juga bentuk tarian dan muzik. [2]Muzik dan tarian adalah paduan yang tidak dapat dipisahkan di dalam kebanyakan drama di Asia Tenggara, dan kemungkinan besar drama adalah cabang permainan atau seni persembahan yang paling muda jika dibandingkan di antara ketiga-tiganya, tetapi ianya adalah yang paling cepat berkembang. James Brandon(1967) menyenaraikan empat tradisi utama di dalam teater di Asia Tenggara, iaitu;
- Tradisi Teater Rakyat, banyak berhubungan dengan kehidupan di desa dan para pemainnya bukanlah pemain profesional, bentuknya sangat ringkas dan tingkat artistiknya juga tidak begitu tinggi;
- Tradisi Teater Istana, para pemainnya berada dalam lingkungan istana, tingkat persembahannya agak tinggi, pergembangan bentuknya lebih kompleks tetapi bersahaja;
- Tradisi Teater Popular, lebih terbentuk di pekan dan kota dalam bangunan teater dan bersifat lebih komersial;
- Tradisi Teater Barat, sebuah bentuk yang baru dan kini, mempunyai hubungan dengan pendidikan tinggi dan bersifat elitis, kadang-kadang bersifat amatur dan tidak berapa tinggi nilai estetikanya.
Bentuk-bentuk yang disebutkan masih ada di Asia Tenggara, tetapi institusi pemerintahan telah banyak berubah, seterusnya membezakan bentuk-bentuk yang ada di sepuluh negara yang dinamakan ASEAN. Politik dan ekonomi juga telah merubah perkembangan kebudayaan dan bentuk-bentuk seni persembahan. Misalnya di Malaysia, tarian asyik dan gamelan tidak lagi menjadi tarian-tarian istana yang dilindungi raja-raja, sebaliknya telah lenyap dari ruang istana dan menjadi seni yang semakin pupus yang hanya diajar dan ditarikan di institusi pengajian tinggi.
Winsteadt (1964) dan Sheppard (1983) pernah menyifatkan seni persembahan yang ada di Tanah Melayu sebagai “pastimes” atau permainan orang-orang Melayu. Mungkin kerana itulah istilah yang dipakai oleh orang Melayu, terutamanya di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) dan lagi keduanya asalnya pegawai-pegawai kolonial British yang menjadi pencatat kehidupan masyarakat koloni waktu itu.
James Brandon yang menyatakan yang kebanyakan persembahan boleh dikategorikan dalam salah satu dari enam kategori drama mengikut asal usulnya, iaitu epik India, cerita Jataka, novel dan cerita Cina, sejarah dan lagenda tempatan, cerita kontemporari serta pengaruh moden dari luar[3]. Antara karekteristiknya, termasuklah bentuknya yang lebih bersifat diskursif (panjang dan berbelit-belit) serta berepisod strukturnya. Kebanyakan drama Asia Tenggara juga tidak bertepatan dengan jenis-jenis yang ditampilkan teater barat, di mana ianya tidak semestinya sebuah tragedi, komedi, melodrama atau ejekan, ianya lebih berbentuk pengajaran[4]. Sesuatu yang baik begitu ketara dari yang jahat dan kebaikan akan selalu berada dipihak yang menang. Karektornya pula dikategorikan dengan jelas dan digunakan dengan berulangkali[5]. Beliau juga menyifatkan bentuk pergerakan sesebuah tarian melahirkan struktur visual yang penting untuk sesebuah drama. Muzik dan tarian sangat memberangsangkan hingga seakan-akan tiada ucapan kata-kata yang lebih indah darinya. Secara kasarnya, teater tari tradisional boleh dipecahkan kepada tarian-tarian yang banyak dipengaruhi estetika India dan Cina[6].
Tarian Melayu pula dikatakan telah lama ujud sebelum datangnya budaya Hindu ke wilayah kita, di mana banyak bentuk ritual animisma mempunyai elemen-elemen tari, pun begitu ia tidak dapat dipastikan samada ianya adalah akar umbi tarian Melayu yang ada pada hari ini. Pengaruh budaya Hindu menjadi kuat dengan tertubuhnya Kerajaan Funan (Abad 1-627) yang terletak di delta Sungai Mekong, di sempadan Kemboja dan Vietnam serta kawasan berkaitan seperti Kerajaan Langkasuka di Semenanjung Emas dan nusantara. Dipercayai juga yang tarian dan muzik sudah ada untuk menghiburkan raja serta keluarganya, dan ianya tersebar ke kerajaan lain yang berhubungan dengan Kerajaan Funan[7]. Kegemilangan Kerajaan Funan diganti pula dengan Kerajaan Angkor di Kemboja, sebelum Sri Wijaya di Palembang Sumatera, Majapahit di Jawa Timur dan Melaka di Negeri Melaka pada 1403.
Tarian Asyik dan Tari Inai, dua bentuk tarian Melayu yang diklasifikasikan oleh ahli tari Malaysia sebagai tari klasik atau tarian istana. Kedua-dua tarian ini berasal dari Istana Kelantan dan Pattani yang mempunyai hubungan yang amat rapat, bukan hanya kerana berada bersebelahan dan mempunyai linguafranca yang sama dan kepercayaan yang sama, kedua-dua kerajaan ini mempunyai talian persaudaraan yang dekat, kukuh dan erat. Tarian Terinai, sebuah lagi tarian klasik Melayu, berasal dari Istana Perlis, juga banyak mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Kelantan dan Pattani, walaupun tuturbahasa rakyatnya banyak dipengaruhi Kedah. Mubin Sheppard[8] menceritakan yang pada tahun 1612 apabila Peter Flores masuk mengadap Ratu Pattani di istananya, beliau ada menyaksikan dua buah persembahan tarian yang diiringi dengan musik yang sangat tinggi nilainya dengan dua belas orang penari yang terdiri dari gadis-gadis sunti, kemungkinannya Tarian Asyik. Ada juga yang mengatakan yang Tarian Asyik dulunya lebih berbentuk teaterikal dengan muzik dan nyanyian mengiringi tarian serta cerita tentang seorang ratu yang kehilangan kijang kesayangannya. Ada sesetengah pengkaji menyifatkan Tarian Asyik, Tarian Terinai dan Tari Inai sebagai mempunyai pengaruh Siam, begitu juga dengan teater tari Manora, yang membawa cerita Jattaka, yang meriwayatkan kisah hidup Buddha, serta teater tari Mak Yong yang menceritakan kisah raja-raja di zaman silam. Kajian sebelum ini tidak pernah menjelaskan kehadiran dan pengaruh Kerajaan Langkasuka yang sudah lama bertapak di Semenanjung Emas (Tanah Melayu), sejak abad kedua lagi, bermula dari Chaya di bahagian Utara Wilayah Selatan Siam hingga ke Pahang di Tanah Melayu. Kerajaan Ligor juga dahulunya adalah sebuah kerajaan Melayu, kemudiannya bertukar menjadi Nakon Sithamarat di bawah taklukan Kerajaan Siam. Kerajaan Siam sememangnya sudah lama ingin menakluk Kerajaan Ligor, dulunya Kerajaan Dharmaraja Sri Nagara, yang menjadi pencetus kemasukan ajaran Buddha dari India. Kerajaan Langkasuka yang berada di selatan Ligor adalah kerajaan Melayu pertama di Semenanjung Tanah Melayu di abad pertama. Kerajaan Langkasuka berubah-ubah tapuk pemerintahannya kerana sering menjadi serangan kerajaan yang lebih kuat seperti Angkor, Sri Wijaya, Majapahit dan Siam, sehinggalah dipecahbelahkan menjadi Kerajaan Pattani Besar apabila kerajaan tersebut menjadikan ugama Islam sebagai ugama rasminya. menjadi mangsa politik kedua-dua buah negara, Malaysia dan Thailand, kerana kelahirannya sebagai sebuah kerajaan bukan Islam. Kerajaan Pattani Besar yang diserang bertubi-tubi sejak zaman Sukhothai hingga ke Ayutthaya akhirnya menjadi wilayah yang terpisah-pisah, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun dan semuanya diperintah oleh Nakon Sithammarat. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dulunya masih dijajah oleh Siam akhirnya terpisah dari gugusan negeri-negeri Melayu di Selatan Siam melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.
Teater Tari Mak Yong
Ada juga yang berpendapat yang teater tari Mak Yong merupakan sebuah bentuk seni persembahan yang lahir selepas kedatangan Islam. Ianya banyak mengambil bentuk asalnya iaitu Manora yang masih didominasi unsur-unsur ugama Buddha. Walaupun di Malaysia kedatangan Islam hanya direkodkan pada 1413, Islam sebenarnya sudah sampai di Champa (sebuah negara di Indo-China, di antara Vietnam dan Kemboja) pada tahun 1035, di Brunei pada tahun 1048, di Jawa pada tahun 1082, di Pasai, Sumatera pada tahun 1297, di Pattani pada tahun 1298 dan Terengganu pada tahun 1303. Champa dikatakan pencetus kedatangan Islam ke wilayah nusantara melalui mubaligh-mubaligh dari negeri China. Champa juga banyak mempunyai pengaruh di dalam perkembangan peradaban di Kerajaan Pattani dan Kelantan, sehingga menjadikan kedua-dua wilayah ini sebagai wilayah kunjungan para ilmuan Islam. Jadi wajarlah kalau kita katakan yang Mak Yong telah dipertontonkan kepada Peter Flores pada tahun 1612 di Istana Pattani oleh Raja Perempuannya. Jika dikaji dengan teliti, wajarlah juga Mak Yong mempunyai dua belas buah cerita yang memerikan duabelas raja-raja di negeri-negeri yang berlainan, sekaligus mewakili duabelas jajahan takluk negeri di bawah kerajaan Langkasuka dan Pattani Besar, serta duabelas bahagian penting yang ada di dalam tubuh manusia.
Teater Tari Mak Yong yang kini sudah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia pada tahun 2005, mempunyai 12 cerita atau repertoir. Antaranya termasuklah cerita Dewa Muda, Dewa Pechil, Dewa Sakti, Dewa Indera Indera Dewa, Dewa Panah, Anak Raja Gondang, Gading Bertimang, Raja Tangka Hati, Raja Muda Lakleng, Raja Muda Lembek, Raja Besar Dalam Negeri Ho Gading dan Bentara Muda. Di dalam persembahan Mak Yong ada terdapat watak-watak penting seperti Pak Yong, Pak Yong Muda, Permaisuri, Puteri Mak Yong, Peran, Dayang-dayang dan Jin. Tarian mengadap rebab pula merupakan elemen yang paling penting di dalam sesebuah persembahan Mak Yong. Ada pengkaji yang menghubungkan tarian mengadap rebab sebagai persembahan istimewa kepada semangat padi. Tetapi ada pula yang mengatakan ianya adalah sebuah penghormatan kepada seorang raja yang berdaulat dan raja negeri yang memerintah. Dalam sebuah pementasan budaya Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada tahun 1969, Mubin Sheppard yang menyifatkan teater tari Mak Yong sebagai sebuah khazanah Melayu yang unggul dan hampir pupus, membakar semangat Khadijah Awang, seorang penari Asyik terkenal di negeri Kelantan untuk meneruskan kegemilangan Mak Yong. Khadijah sendiri sebenarnya sudah berada dekat dengan Mak Yong, beliau dijadikan anak angkat oleh primadonna Mak Yong terkenal, Cik Gemala dan kemudiannya berkahwin dengan anaknya, Zakaria Abdullah. Cik Gemala bersuamikan Abdullah, seorang peran yang juga kepala kepada kumpulan Mak Yongnya. Beliau akhirnya meninggalkan Mak Yong setelah menikah dengan Menteri Besar Kelantan sewaktu pemerintahan Sultan Ibrahim.
Khadijah Awang yang menubuhkan Kumpulan Sri Temenggong di Kota Bharu adalah penyambung darah Mak Yong Cik Gemala, menjadi terkenal di Kelantan kerana keberadaannya di Kota Bharu, walaupun masih ada kumpulan-kumpulan lain yang bergiat di jajahan-jajahan lain di negeri Kelantan pada waktu itu seperti di Tumpat, Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas. Kerana tingkat kesenian tarinya yang halus, suaranya yang lunak, raut wajah yang menawan dan keberadaannya, beliau ditampilkan bersama Kumpulan Sri Temenggung untuk mempersembahkan cerita-cerita Mak Yong di Radio & Televisyen Malaysia (RTM) di awal tahun 1970an. Beliau pernah menjadi pengajar jemputan di Universiti Sains Malaysia dan Kompleks Budaya Negara serta membuat persembahan-persembahan di dalam Malaysia dan di luar negara. Akhirnya beliau terpilih sebagai salah seorang pengajar di Akademi Seni Kebangsaan pada tahun 1994. Beliau juga banyak berkolaborasi dengan penggiat-penggiat teater, tari dan filem tanah air. Pada tahun 1999 beliau dianugerahkan Seniman Negara, sekali gus menaikkan taraf Mak Yong sebagai sebuah khazanah nasional. Kini Mak Yong sudah diajarkan di beberapa universiti di Malaysia termasuk Universiti Malaya sendiri.
Mak Yong sudah menjadi sebuah persembahan teater tari yang penting untuk diselidiki sejak dari kajian Professor William Malm, Mubin Sheppard sehinggalah kepada Professor Ghulam Sarwar.
Kegemilangan Mak Yong dalam menempa nama sebagai Anugerah Seni Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2005 juga tidak harus diperkecilkan. Tetapi kegemilangannya tidak bakal ada jika tiada usaha yang dicurahkan oleh Tengku Long Ghaffar, Tengku Temenggung Kelantan yang menubuhkan Kampung Temenggung di luar kawasan Istana Balai Besar Kelantan, sekitar Kampung Kubang Pasu dan Kampung Atas Banggol di Kota Bharu. Mungkin kesedaran itu timbul setelah negeri Kelantan terpisah dari cengkaman Kerajaan Siam pada tahun 1909. Kegemilangan Kampung Temenggung menjadi pudar sekitar tahun 1930 sebelum kemasukan Jepun, Mak Yong mengalami zaman gelap yang panjang sejak Perang Dunia Kedua hinggalah perjuangan membentuk Malaysia. Mungkin Peristiwa 13 Mei 1969 dan Kongres Kebudayaan Nasional di tahun 1970 menimbulkan kembali persoalan identiti budaya Melayu. Pun begitu Mak Yong menjadi semakin parah apabila Parti Islam SeMalaysia memerintah dan perjuangan revolusi Islam Iran menular ke Kelantan, yang sudah sememangnya bergelar Serambi Mekah.
Sebenarnya, kehadiran revolusi Islam juga sekaligus menandakan kehadiran arus global yang kuat termasuk televisyen dan budaya popular. Apabila PAS memenangi negeri Kelantan di dalam pilihanraya umum 1990, Mak Yong diharamkan dengan rasminya pada tahun 1992 kerana kedudukan wanita dan aurat di dalam Islam serta ritual-ritualnya yang dikatakan sebagai tidak Islamik.
Banyak kumpulan Mak Yong yang berubah atau kembali bermain di dalam persembahan Main Peteri. Main Peteri boleh juga dikategorikan sebagai teater tari, walaupun hanya mempersembahkan cerita Dewa Muda dari cerita Mak Yong. Kumpulan-kumpulan Mak Yong terus kekal bermain dan inilah yang menjadi faktor penting mengapa Mak Yong menjadi lebih ringkas persembahan tariannya dan lebih banyak bersifat impromtu dan improvisasi berstruktur kerana banyak bergaul dengan masyarakat biasa. Main Peteri adalah sebuah teater yang lebih bersifat ritual, perubatan tradisi dan bukan persembahan untuk tontonan umum, tapi hanyalah untuk tontonan sanak saudara dan jiran tetangga, malah kadangkala ianya diadakan secara tertutup kerana sebab-sebab tertentu.
Kita boleh mengatakan yang Mak Yong adalah merupakan bentuk teater tari Melayu yang terawal di Tanah Melayu dan Malaysia. Sebuah lagi bentuk teater tari yang agak lama adalah Mek Mulung yang ujud di Kedah. Mek Mulung jarang sekali dipersembahkan dan diperkatakan dan hasilnya, ia menjadi semakin pupus. Mek Mulung dikatakan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan Mak Yong, tetapi berlain teksturnya kerana bahasa perantaraan yang digunakan, iaitu loghat utara.
Joget Gamelan pula timbul di Pahang dan kemudiannya di bawa ke Terengganu oleh Tengku Mariam sewaktu mengahwini Raja Muda Terengganu sekitar tahun 1920. Dahulunya Joget Gamelan juga boleh diketegorikan sebagai sebuah teater tari, tetapi kerana kepupusannya, bentuknya juga berubah menjadi sebuah persembahan tarian klasik istana, malah tarian dan muziknya menjadi terpisah. Jarang sekali ahli penyelidik seni persembahan menyentuh dan menghubungkan sejarah kesultanan di Tanah Melayu dan nusantara dengan sejarah seni budayanya, tetapi tidak dapat dinafikan yang gamelan itu sendiri datangnya dari Tanah Jawa, malah ramai yang tidak mengetahui yang Tarian Joget Gamelan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh anak-anak raja Bugis yang melarikan diri dari Sulawesi sewaktu perang saudara di Makasar yang dicetuskan oleh Belanda. Anak-anak raja inilah yang menyelusuk masuk ke Tanah Melayu melalui persisiran Jawa dan kepulauan Johor Riau dan membawa bersama mereka, alat-alat muzik gamelan dan pemain serta penarinya.
Selain itu, kita juga mempunyai beberapa bentuk-bentuk persembahan yang lain yang boleh dikategorikan di dalam teater tari dan gerak seperti persembahan Kuda Kepang, Dabus, Jikir dan Rodat. Pun begitu, masih belum banyak kajian yang melihat persembahan-persembahan tersebut dari perspektif sebuah persembahan teater tari.
Dramatari, Taridra dan Teater Eksperimental
Takala kita mula menjangkau ke dunia teater moden, kita akan dipertanyakan dengan persoalan tentang istilah-istilah seperti dramatari, taridra, teater eksperimental dan teater tari di dalam seni persembahan di Malaysia.
Dramatari boleh dikategorikan sebagai sebuah bentuk persembahan tarian yang menekankan elemen dramatik di dalam tariannya. Selalunya dramatari masih berpegang kepada naskah atau cerita drama yang menjadi tunggak persembahan. Dramatari juga secara tradisinya memisahkan bentuk tarian rakyat atau sosial dengan tarian klasik atau istana, kerana lazimnya tarian klasik adalah lebih kompleks bentuknya, selalunya membawa sesuatu cerita atau mesej dalam persembahan. Tarian rakyat selalunya bertujuan untuk tarian pergaulan dan hiburan semata-mata, manakala simbol-simbol yang dibawa adalah lebih ringkas dan jikapun ada penceritaan disebalik tariannya, ianya hanyalah berkisar sekitar pergerakan harian masyarakat biasa seperti menjala ikan, bercucuk tanam atau perayaan musim menuai yang bersifat lebih simplistik. Istilah dramatari sebenarnya sudah terbiasa di dalam budaya tradisional di Asia, walaupun ianya tidak dipanggil sedemikian seperti Opera Cina, Katakali, Noh, Kabuki, Bharatha Natyam yang mempunyai elemen dramatari. Begitu juga dengan persembahan tarian ballet klasik, yang merupakan persembahan tarian klasik yang untuk istana-istana di Eropah termasuk di zaman Louis XIV di Perancis di abad ke 17. Tarian ballet klasik mempunyai repertoir-repertoir ceritanya yang tersendiri seperti Cinderella, Copelia, Nutcraker, Sleeping Beauty, Swan Lake dan sebagainya.
Istilah dramatari muncul di Malaysia sekitar tahun 1970an, setelah lahirnya era teater kontemporari yang meliputi teater absurd dan eksperimental. Mungkin ini terhasil dari arus kegiatan bersastera dan berdrama yang sekaligus mengajak kelompok tari dan budaya untuk sama-sama bergabung. Inilah suatu arus baru di dalam gerakan teater kontemporari yang dilahirkan di tahun 1970an oleh kumpulan-kumpulan teater seperti Anak Alam, yang banyak menampilkan karya-karya ala absurd, sekaligus menggali dan mengangkat elemen budaya pribumi ke dalam persembahan teater dan drama pentas. Bentuk ini banyak terpengaruh oleh arus teater kontemporari Indonesia yang dipelopori oleh W.S.Rendra, Ariffin C.Noer dan Putu Wijaya, aktif di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Mereka ini pernah menjadi rujukan para penggiat teater Melayu kerana semangat kenegaraan dan ke-Indonesian-annya yang kuat.
Mungkin ini adalah sebuah gerakan yang terhasil secara sedar atau separa sedar setelah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, Kongress Kebangsaan pada tahun 1969 dan Dasar Kebudayaan Negara pada tahun 1970, yang sekaligus mengajak penggiat seni sastera dan budaya untuk sama-sama menggali jati diri bangsa dan negara dalam membina semangat nasionalisma.
Di dalam semangat menggali kesenian Melayu ke dalam kegiatan teater kontemporari, muncul pula istilah taridra, iaitu gabungan perkataan tarian dan drama. Di sini elemen tari digunakan untuk menampilkan sesebuah drama, atau dengan kata lain, mendramatikkan sesebuah persembahan drama atau teater. Taridra, walaupun tidak dapat mempertahankan genrenya, telah diperkenal dan diperkembangkan di sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan kebudayaan di sekitar tahun tahun 1970an, sebagai mempergiatkan aktiviti kebudayaan, sekaligus menggalakkan aktiviti bersastera di kalangan penggiat tari dan kebudayaan. Genre ini juga memperkukuhkan teater gerak yang bersifat fizikal yang dipelopori Kumpulan Teater Anak Alam di Kuala Lumpur. Di luar Kuala Lumpur, muncul pula kumpulan teater pelajar dari institusi pengajian tinggi yang pertama menawarkan kursus drama dan seni persembahan di Malaysia, iaitu Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Di bawah bimbingan pengajar jemputannya, Tone Brulin, USM menghasilkan karya seni persembahan berjudul “Naga-naga Siapa Kau” dan “Naga-naga Di Mana Kau” yang menjadi suatu titik permulaan kepada persembahan teater kontemporari yang bersifat avant-garde di Malaysia sebelum melahirkan nama-nama anak tempatan seperti Hatta Azad Khan dari USM, Johan Jaafar dan Dinsman dari Universiti Malaya yang bukan hanya menampilkan bentuk eksperimental, tetapi juga mempertanyakan persoalan masyarakat dan bangsa. Nordin Hassan yang bergiat dalam teater di maktab perguruan sejak tahun 1960an pula sudah mengimprovisasi latar teaternya dengan seni persembahan tradisional terutamanya gerakan budaya dari Pulau Pinang, seperti Bangsawan dan Boria. Beliau yang kemudiannya menjadi lebih ghairah bereksperimentasi dengan simbol-simbol dalam teater mula beralih ke arah Islam, kemudiannya dikenali dengan bentuk teater fitrah.
Genre teater eksperimental jugalah yang memunculkan aliran baru dalam teater kontemporari, iaitu dramatari, yang mempunyai alirannya yang tersendiri, membezakannya dari aliran drama dan seni tari. Dramatari tetap mengekalkan elemen naratifnya di dalam penceritaan, malah kadangkala menampilkan nyanyian, syair, pantun, mentera atau pembacaan untuk menguatkan keutuhan dan perjalanan ceritanya. Di saat dramatari ditampilkan dan tari menjadi elemen penting, muzik juga menjadi tunggak kepada kehadiran tari. Boleh dikatakan yang dramatari yang ujud di Malaysia masih kental elemen budaya, sejarah dan tradisi. Kebanyakan cerita yang dibawa pula mempunyai ikatan yang kuat dengan cerita rakyat, lagenda, sejarah dan mitos.
Jika dibanding akan kedua-duanya, mungkin kita boleh menyatakan yang dramatari adalah suatu aliran teater yang mendramakan tari, manakala taridra pula adalah teater yang menarikan drama. Mungkin keberhasilannya berbeza-beza di antara sesebuah kumpulan dengan kumpulan yang lain, dan mungkin juga istilahnya mempunyai pertindihan dan perbezaannya. Mungkin penggunaan kata dramatari dan taridra berubah-ubah mengikut individu yang menggunakannya. Pun begitu istilah dramatari bertahan lebih lama dari istilah taridra. Dramatari menjadi lebih kekal kerana ianya diterajui oleh para aktivis tari yang gigih mempertahankan elemen dramatik di dalam tarinya.
Persembahan dramatari kontemporari yang dipentaskan sekitar tahun 1976 oleh Kompleks Budaya Negara di Kuala Lumpur berjudul “Inderaputra” yang dicipta dan dikoreografikan oleh Mohd Zamin Haroon atau lebih dikenali sebagai Dr.Chandrabhanu, boleh dikira sebagai pementasan pertama dramatari kontemporari di Malaysia. Persembahan yang diterbitkan bersama oleh Supiat Mukhri dari Kompleks Budaya Negara dan Krishen Jit dari Universiti Malaya telah menampilkan penari-penari handalan seperti Azanin Ahmad yang pulang menuntut dari Australia dan giat membuat persembahan bersama Dr.Chandrabhanu di Melbourne, Azizah Borhan yang pakar dalam Tari Terinai dari Perlis serta Sharifah Mahani dari Kompleks Budaya Negara. Inderaputera banyak mengambil tradisi Tari Terinai, seni tari klasik Perlis, tempat lahir Mohd.Zamin Haroon, sebagai latar geraknya. Inderaputra sendiri adalah sebuah kisah yang memerikan seorang putra raja dari kerajaan lama di Negeri Perlis. Usaha ini mungkinnya lahir setelah menyaksikan persembahan “Naga-naga Siapa Kau” yang diarah oleh Tone Brulin pada awal 1970an. Tone Brulin, aktor, penulis dan pengarah teater dari Belgium adalah seorang penulis naskah teater Flemish yang terkenal di Holland dan Belgium. Selain menjelajah dan mengajar teater di Malaysia, beliau juga pernah menjelajah ke Afrika Selatan, Kongo, Pulau Caribean dan Amerika Syarikat. Sebagai seorang yang gemar akan teater Asia dan Afrika, teater beliau lebih bersifat fizikal, impromtu, telus dan terus terang, sama seperti bentuk teater tradisional Melayu, contohnya Mak Yong.
Dr.Chandrabhanu tidak kekal lama di Malaysia, beliau memulakan kumpulannya sendiri di Melbourne, Bharatam Dance Company yang lebih menjurus kepada produksi teater tari Bharata Natyam dan Odissi. Azanin Ahmad pula menubuhkan kumpulannya sendiri bergelar Suasana Dance Company dan menghasilkan banyak produksi dramatari kontemporari bermula dari Dayang Sari(1978), Jentayu(1980), Puteri Saadong(1982), Cempaka Emas(1986), Seri Rama Siti Dewi(1988), Kunang-kunang Gunung Ledang(1990), Keris(1991), Sultan Muzaffar(1993), Pengaliran Warisan(1994) dan Tun Fatimah(1997). Azanin yang pada mulanya banyak mengambil elemen-elemen dari tari terinai dan Joget Gamelan, kemudian beralaih kepada Mak Yong, Wayang Kulit, Asyik dan Silat sebagai latarbelakang gerak, muzik dan penceritaannya. Beliau juga banyak berkolaborasi dengan aktivis-aktivis teater dan muzik tanah air waktu itu seperti Bob Khalil, Mustafa Noor, Ismail Bakti dan Ramli Ibrahim. Sepulangnya Ramli Ibrahim dari Australia, beliau memulakan kumpulannya sendiri, Sutra Dance Theatre. Walaupun beliau kemudiannya menumpukan karya-karyanya kepada seni tari klasik India, beliau pernah menghasilkan dramatari Melayu, antaranya termasuklah Gerhana, Pandanglah Lihatlah, Arrahim dan Pesta.
Ahmad Omar pula adalah suatu nama yang lahir dari kelompok Kompleks Budaya Negara. Beliau turut menghasilkan beberapa produksi dramatari Melayu yang berasaskan tarian Joget Gamelan dari Terengganu. Seperti yang telah disebutkan, sesebuah dramatari berasaskan konsep dramatik yang mempunyai jalan ceritanya yang bukan hanya terdiri daripada tari itu sendiri, tetapi mengambilkira elemen lain termasuk pemilihan cerita, penghasilan babak-babak, metafor-metafor, simbol-simbol serta sinografinya yang terdiri daripada reka pentas, pencahayaan, kostum, make-up, busana dan sebagainya.
Apabila dilihat kembali pada produksi-produksi dramatari Suasana Dance Company (menjadi Pusat Budaya Suasana pada tahun 1991) yang berjaya, ianya merangkumi rekaan pentas, pencahayaan, busana, tatarias, pilihan cerita serta koreografi yang bukan terlahir dari satu bentuk teater tradisional, tetapi gabungan bentuk gerak dan tari dari teater tradisional yang berbeza. Azanin bukan hanya dipengaruhi teater tari tradisional Asia Tenggara dan Asia, tetapi juga bentuk moden seperti kumpulan Bayanihan dan Ballet Philippines dari Manila. Beliau juga sangat terpengaruh dengan gerakan-gerakan tari Martha Graham. Pendekata, pengkarya-pengkarya kita juga tidak terlepas dari dipengaruhi gerakan-gerakan teater dan tari di barat.
Teater Tari
Penggiat teater tari barat cuba menampilkan bentuk-bentuk baru di dalam dunia tari dan teater di luar dunia tarian ballet klasik sejak selepas perang dunia pertama lagi dan ramai di antara mereka yang begitu terpengaruh dengan budaya seni tarian atau teater tari Asia termasuklah Martha Graham yang digelar sebagai “Mother of Modern Dance” di Amerika Syarikat sekitar tahun 1930an. Beliau dikatakan menggunakan teknik-teknik yang ada di dalam Opera Cina, teater tradisional Noh dan Kabuki dari Jepun serta lain-lainnya di dalam bereksperimentasi untuk karyanya. Beliau juga pernah menjelajah ke Asia Tenggara di tahun 1960an, iaitu ke Filipina dan Indonesia, termasuk meninjau teater tari Jawa dan Bali. Beliau malah berjaya membawa tiga orang penari terkenal Indonesia ketika itu, Bagong, Kailola dan Subagio untuk mengikut beliau ke New York, menghadiri bengkel-bengkel tari. Kepulangan mereka ke Indonesia akhirnya menjadi suatu permulaan baru untuk melihat tari dari perspektif yang berbeza, sekaligus merombak bentuk tarian-tarian daerah dan melahirkan kelompok tarian negara. Bentuk ini juga kemudiannya merebak ke Malaysia dan Filipina. Kehadiran Martha Graham di Amerika Syarikat kemudiannya menjadi ikutan ramai penggiat tari di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara. Bentuk tarinya jauh sekali daripada bentuk-bentuk tari ballet, sebaliknya beliau banyak mengambil elemen-elemen drama dan teater, yang sememangnya sudah lama lahir dalam budaya Asia and khususnya Asia Tenggara.
Konsep teater tari itu sendiri pula diperkenalkan di Jerman sebelum perang dunia kedua. Di antara nama-nama penting yang menjadi pelopor di dalam teater tari atau digelar Tanztheater di Jerman adalah Mary Wigman dan Kurt Joos. Malah Mary Wigmanlah yang menjadi inspirasi kepada Pina Bausch yang akhirnya memperbaharui bentuk teater tari Jerman dengan gayanya yang tersendiri sekitar tahun 1970an and 1980an dan membuatkan beliau terkenal di Eropah, Amerika dan Asia. Pun begitu ramai juga para koreografer dan pengarah persembahan yang lahir di Amerika dan kemudiannya menghasilkan bentuk mereka tersediri seperti Ruth St.Dennis, Ted Shawn, Merce Cunningham, Paul Taylor dan sebagainya. Mereka banyak bereksperimentasi dengan bentuk, gaya dan ritma tubuh. Mary Wigman juga pernah masuk ke Amerika sebelum perang dunia kedua, untuk mengajar teknik persembahan beliau dan membentuk sebuah sekolah teater tari, tetapi tidak bertahan lama. Pina Bausch pula kembali ke konsep tanztheatre selepas pulang dari belajar Ballet di Julliard, New York. Seperti Mary Wigman, Pina Bausch juga terpengaruh dengan teater tari di India.
Di Amerika, ada kumpulan-kumpulan yang menjadi terkenal kerana karya-karya mereka yang unik dan membawakan citra budaya kaum seperti kumpulan Alvin Alley yang menampilkan kehidupan orang-orang kulit hitam. Di Eropah juga ada kumpulan-kumpulan ballet klasik yang mengubah haluan ke arah persembahan yang berbentuk teater tari. Manakala kumpulan-kumpulan yang lebih bersifat cutting edge dalam dunia teater tarinya lebih banyak tertumpu di tanah besar Eropah seperti Jerman, Belanda dan Perancis. Mungkin kerana itulah juga lahirnya konsep-konsep teater yang padu seperti tanztheatre, sinografi dan dramatugi sehingga menimbulkan konsep jatidiri dan penjenamaan yang utuh. Walaupun konsep-konsep ini sedikit sebanyak mempengaruhi dunia seni persembahan di Britain, seniman-seniman British masih dipagari dengan linkungan bentuk dan khalayak seperti teater, ballet dan opera, seterusnya mempengaruhi perantara dan pembikinan karya di negara-negara Commonwealth, termasuk Malaysia sendiri. Oleh kerana penggunaan bahasa Inggeris di negara-negara Commonwealth, bentuk-bentuk seni persembahan moden kita banyak dipengaruhi oleh bentuk dari negara yang bertutur bahasa Inggeris seperti Britain, Amerika Syarikat, Canada, Australia dan New Zealand.
Di Jepun, dunia seni persembahan klasik banyak mendominasi dan elemen-elemen teater tari begitu jelas di dalam persembahan Kabuki dan Noh. Begitu juga dengan persembahan Buto yang dulunya sukar untuk diterima oleh dunia seni persembahan di Jepun. Walaupun asalnya bentuk ini banyak dipengaruhi oleh Ausdrucktanz - Dance of Darkness dari Jerman, ia akhirnya melahirkan bentuknya yang tersendiri. Kini persembahan tersebut yang banyak memiliki elemen-elemen teater tari, menjadi seni persembahan moden yang membawa jatidiri Jepun. Kumpulan Buto, Shankaijuku, menjadi popular dan terkenal di dunia setelah mencipta nama di Paris dan New York sekitar awal 1980an. Bentuk ini mulai dikenali di Jepun, di Tokyo, Osaka dan Kyoto, sebagai suatu gerakan protes terhadap pengeboman Hiroshima, kerana itulah tarian ini dipersembahkan dengan membaluti seluruh tubuh yang berlenging dengan cat putih dan memakai fundoshi sebagai cawat. Asalnya, bentuk ini dipersembahkan di galeri-galeri seni di Jepun dan dilihat seperti sebuah Happening Art dan Performance Art, dipengaruhi gerakan seni di Amerika Syarikat, sekitar tahun 1960an dan 1970an. Dari situlah timbulnya nama-nama seperti Hijikata dan Kazuo Ohno. Persembahan Buto ini berkembang menjadi seni yang dipersembahkan di pentas. Tradisi tersebut diteruskan oleh kumpulan-kumpulan Buto yang tumbuh daripada Hijikata seperti Shankai Juku, Daidakudakan dan banyak lagi. Malah bentuk ini menular ke seluruh dunia, termasuk di nerara-negara Barat dan membentuk suatu bentuk baru di dalam dunia teater tari.
Di Malaysia, konsep teater tari jarang ditampilkan, walaupun ianya telah lama bertapak di dalam seni persembahan tradisional. Pemisahan bentuk persembahan, antara teater dan tari menimbulkan suatu jurang kerana masyarakat masakini yang lebih mementingkan keindahan lahiriah tanpa pemikiran yang mendalam. Kerana itulah bentuk-bentuk teater komedi dan muzikal menjadi dominan dan menjurus ke arah teater untuk hiburan, manakala tari pula mementingkan konsep keindahan yang bersifat tari semata atau pure dance, menjurus kepada hiburan dan kemeriahan.
Seperti persembahan teater, teater tari memerlukan pemikiran, proses pembikinan yang panjang serta penelitian yang mendalam, kerana itulah teater tari memerlukan pengertian tentang sinografi dan dramatugi di dalam pembentukannya.
Di dalam era globalisasi yang memiliki kecanggihan teknologi dan pemikiran pascamoden ini, banyak bentuk-bentuk baru dalam seni persembahan teater mulai dihasilkan, termasuklah rekonstruksi, dan dekonstruksi dalam penggalian semula khazanah seni persembahan tradisional dan klasik, serta pemecahan tembok pemisah antara bentuk seni persembahan istana, rakyat dan popular. Begitu juga dengan percantuman bentuk-bentuk persembahan pelbagai bangsa dan budaya di dunia dan di Malaysia sendiri. Pendekata, bentuk teater berkonsepkan teater tari ini mampu menjana wacana-wacana dan pemikiran-pemikiran baru seterusnya menyumbang ke arah pembentukan sesebuah bangsa yang progresif.
Rujukan
- James Brandon (1967), Southeast Asian Theatre, Harvard University Press, Massachusetts.
- Ghulam Sarwar Yousof (2003), Malaysian Encyclopedia of Performing Arts, Archipelago Press, Kuala Lumpur, Malaysia.
- Mattani Rutnin (1998), Thai Dance and Drama, Riverbooks, Bangkok, Thailand.
- Mohd Ghouse Nasaruddin (1994) Tarian Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
- Miettinen Jukka O. (1992), Classical Dance and Theatre in Southeast Asia, Oxford University Press, Singapore
- Mubin Sheppard (1986), A Royal Pleasure Ground, Oxford University Press, Kuala Lumpur
- Zulkifli Mohamad (2006), Artistic Creation Management in Contemporary Malay Dance-Theatre in Malaysia, (PhD Thesis), ATMA UKM, Bangi, Selangor.
- Hinzmann et Mershmeier (1998), Tanztheatre Today: Thirty Years of German Dance History, Kallmeyer-Goethe Institute-Tanz Aktuall, Leipzig, Germany.
- Dan Hermon (2003), What is Butoh? www.butoh.net/define.html
- Harmen Sikkenga(1994) Butoh- Dance of Darkness, www.butoh.net/definitions.html
[1] Jukka O.Miettinen (1992) Classical Dance and Theatre in Southeast Asia, Oxford University Press, Singapore.
[2] James Brandon (1967:81-85) Southeast Asian Teater, Harvard University Press, Massachusetts.
[3] Ibid (1967:89)
[4] Ibid (1967:116-7)
[5] Ibid (1967:120)
[6] Ibid (1967:125)
[7] Mohd Ghouse Nasaruddin (1994) Tarian Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[8] Mubin Sheppard(1986) Royal Pleasure Ground, Oxford University Press, Singapore.
No comments:
Post a Comment